Tuesday 17 April 2018

35 peratus kemalangan berpunca dari telefon bimbit

35 peratus kemalangan berpunca dari telefon bimbit


YAN - Penggunaan telefon bimbit semasa memandu menyumbang sehingga 35 peratus kepada kadar kemalangan di negeri ini.

Ketua Polis Kedah, Datuk Asri Yusoff berkata, tindakan itu juga boleh menyebabkan aliran trafik menjadi perlahan disebabkan fokus pemanduan terjejas.
  
"Risiko mungkin kurang jika pemandu  menggunakan 'handsfree', namun penggunaan telefon bimbit boleh mengakibatkan aliran trafik perlahan bahkan turut mengundang kemalangan," katanya.


Beliau bercakap kepada pemberita selepas melancarkan Op Selamat 11/2017 Sempena Hari Raya Aidilfitri peringkat negeri Kedah, di perkarangan Balai Polis Guar Chempedak dekat sini, hari ini.

Sementara itu, Asri berkata sebanyak 54 kawasan disenaraikan sebagai lokasi kerap berlaku kemalangan di negeri ini dalam Op Selamat 11/2017 yang bermula 18 Jun sehingga 2 Julai ini.

"Kita mensasarkan penurunan lima peratus kes kemalangan, tahun ini. Jumlah kemalangan yang direkodkan di negeri ini bagi Op Selamat pada Hari Raya Aidilfitri 2016 adalah 1,201 kes iaitu memperlihatkan peningkatan sebanyak 11 kes kemalangan atau satu peratus berbanding tahun sebelumnya sebanyak 1,190 kes," katanya.

Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan agar individu yang meninggalkan rumah untuk pulang ke kampung menyambut hari raya supaya memaklumkan kepada polis menerusi Borang Maklumat Balik Kampung untuk menjamin keselamatan rumah mereka.

"Borang itu boleh diperolehi di balai dan juga dimuat turun daripada Portal Rasmi PDRM (Polis Diraja Malaysia), malah pemakluman juga boleh dilakukan menerusi aplikasi Volunteer Smartphone Patrol (VSP), yang boleh dimuat turun melalui Play Store dan Apple Store," katanya. - Bernama

 Link : http://www.sinarharian.com.my/semasa/35-peratus-kemalangan-berpunca-dari-telefon-bimbit-1.691738

No comments:

Post a Comment

35 peratus kemalangan berpunca dari telefon bimbit

35 peratus kemalangan berpunca dari telefon bimbit